AM

Pasar Raya Di Kelantan Tutup Pada Hari Raya Pertama

11/03/2026 07:26 PM

KOTA BHARU, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan operasi pasar raya di negeri itu ditutup sepenuhnya pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha bagi membolehkan pekerja menyambut hari raya dengan keluarga.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebajikan pekerja berikutan pelaksanaan tahun lepas yang menutup operasi separuh hari pada hari raya pertama, didapati masih memberi kesan kepada pekerja.

“Keputusan dibuat selepas kerajaan negeri mempertimbangkan rayuan persatuan dan pekerja pasar raya agar mereka diberi peluang meraikan hari raya sepenuhnya bersama-sama keluarga.

“Bagi premis jualan makanan dan kedai serbaneka pula operasi perniagaan dibenarkan bermula selepas 1 tengah hari raya pertama,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Hilmi berkata langkah itu juga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang meletakkan hari raya sebagai hari kemenangan selepas berpuasa sebulan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata orang ramai digalakkan merancang pembelian barangan keperluan hari raya lebih awal sebagai persediaan susulan penutupan operasi pasar raya.

Sementara itu, Hilmi berkata pasar raya boleh memohon untuk melanjutkan waktu operasi sehingga 12 tengah malam sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, jika perlu.

“Permohonan boleh dipertimbangkan, khususnya menjelang malam raya bagi menampung peningkatan pembelian barangan oleh orang ramai,” katanya.

Hilmi berkata peniaga bazar Aidilfitri diberi kelonggaran melanjutkan operasi melebihi 12 tengah malam pada malam raya bagi menghabiskan barangan jualan.

Bagaimanapun, peniaga perlu memastikan kawasan perniagaan dibersihkan sepenuhnya selepas tamat operasi termasuk menanggalkan khemah bagi menjaga kebersihan kawasan dan mengelakkan denda.

Beliau berkata pada tahun lepas, terdapat peniaga bazar Aidilfitri meninggalkan sampah di tapak jualan sehingga kerajaan negeri terpaksa menugaskan kira-kira 700 pekerja bagi membersihkan sisa itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533233