KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia menghadapi ketidakpastian persekitaran global dengan mengimbangi daya tahan dan penciptaan semula perniagaan, selain berusaha merebut peluang serantau, kata Rakan Kongsi Pengurusan PwC Malaysia, Soo Hoo Khoon Yen.
Beliau berkata Tinjauan CEO PwC Global ke-29 mendapati, sentimen perniagaan bagi 2026 kekal berhati-hati di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan turun naik makroekonomi.
“Keyakinan mula meningkat apabila perniagaan mula bangkit daripada tempoh COVID-19, tetapi ia terjejas akibat ketegangan geopolitik dan gangguan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya pada temu bual program The Nation Bernama TV.
Soo Hoo berkata perkembangan geopolitik baru-baru ini, termasuk konflik di Asia Barat, telah meningkatkan ketidakpastian dan membentuk satu suasana dalam kalangan pemimpin korporat.
Mengikut tinjauan PwC, sebanyak 33 peratus daripada CEO Malaysia yakin mengenai pertumbuhan pendapatan bagi tempoh 12 bulan akan datang, berbanding dengan 45 peratus sebelum ini.
Menurut Soo Hoo, perniagaan semakin menganggap bahawa daya tahan bukan sekadar satu strategi pertahanan tetapi sebagai satu keperluan ketika berdepan persaingan.
“Berdasarkan tinjauan ini, kami telah beralih daripada apa yang saya panggil sebagai permainan daya tahan ketika kita keluar daripada COVID-19 kepada permainan mengambil peluang,” katanya.
Soo Hoo berkata tinjauan itu juga menunjukkan bahawa CEO Malaysia sedang mengambil pendekatan lebih agresif terhadap penciptaan semula perniagaan berbanding rakan sejawat global mereka, terutamanya dengan meneroka peluang pendapatan baharu dan berkembang ke sektor bersebelahan.
Bagaimanapun, ketegangan perdagangan global, termasuk ketidakpastian tarif yang melibatkan Amerika Syarikat, telah menyumbang kepada sentimen berhati-hati dalam kalangan lembaga pengarah.
“Orang ramai secara amnya masih tidak pasti mengenai apa yang akan berlaku akibat krisis tarif Amerika Syarikat (AS) kepada syarikat Malaysia kerana ia bukan hanya memberi kesan kepada produk mereka, tetapi juga sektor bersebelahan seperti pembekal dan permintaan pengguna,” katanya.
Di sebalik segala cabaran ini, Asia Tenggara termasuk Malaysia, semakin dilihat sebagai tempat perlindungan yang agak selamat bagi pelaburan di tengah-tengah peningkatan risiko geopolitik di kawasan lain.
“Risiko politik kini telah menjadi satu pertimbangan penting dalam perniagaan, dan ini menjadikan Asia Tenggara sebagai lokasi pilihan,” kata Soo Hoo.
Sementara itu, kekurangan bakat kekal menjadi kebimbangan utama, dengan kira-kira 35 peratus daripada CEO menyatakan terdapat jurang kemahiran, terutamanya dalam keupayaan berkaitan teknologi dan digital.
Menurut Soo Hoo, keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehsuaian berterusan dalam kalangan tenaga kerja, terutamanya apabila perniagaan mengintegrasikan AI ke dalam operasi.
Walaupun penggunaan AI semakin meningkat, beliau berkata banyak syarikat masih belum memanfaatkannya bagi menjana keuntungan kewangan.
“Hanya kira-kira 20 peratus daripada organisasi mengatakan bahawa AI boleh meningkatkan pendapatan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa cabaran bukannya berpunca daripada teknologi itu sendiri tetapi pada tadbir urus, proses dan pengurusan data.
Pada masa sama, keselamatan siber turut menjadi keutamaan penting, dengan 82 peratus CEO merancang untuk mengukuhkan keselamatan siber seluruh perusahaan, sekali gus mencerminkan peningkatan risiko digital.
Selain itu, 84 peratus CEO Malaysia merancang untuk berkembang melangkaui sempadan industri tradisional mereka, didorong oleh keperluan untuk kekal berdaya maju dalam dekad akan datang.
Soo Hoo berkata Malaysia mempunyai potensi yang kukuh untuk menerima manfaat daripada penciptaan nilai serantau, terutamanya dalam sektor seperti teknologi, kejuruteraan, pertanian dan semikonduktor.
“Malaysia kekal agak berdaya saing dari segi kos, dengan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi.
“Kelebihan ini perlu digunakan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan rantaian nilai,” katanya.
Soo Hoo menambah bahawa Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi peringkat pertengahan berbanding bersaing secara langsung dengan peneraju global.
“Walaupun kita mungkin tidak memiliki teknologi pertama dalam kelasnya seperti AS dan China, kita berpeluang untuk mewujudkan keupayaan teknologi peringkat kedua yang kukuh dan dapat memberikan nilai sebenar,” katanya.
Tinjauan CEO Global PwC ke-29 itu menggabungkan pandangan daripada lebih 4,400 ketua eksekutif di seluruh dunia, termasuk 37 dari Malaysia.
-- BERNAMA