Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
PETALING JAYA, 12 Mac (Bernama) -- Ketika lagu-lagu raya baharu kian banyak berkumandang di corong radio dan platform digital menjelang Syawal, penyanyi veteran Datuk DJ Dave berpendapat magis lagu raya era 1970-an tetap unggul dan sukar ditandingi hingga kini.
DJ Dave, 78, yang popular dengan lagu malar segar ‘Menjelang Hari Raya’ berkata walaupun ramai pencipta muzik generasi baharu menghasilkan karya berkualiti, keunikan melodi dan jiwa lagu era terdahulu mempunyai daya tarikan tersendiri yang kekal diingati peminat.
“Saya rasa lagu raya sekarang banyak yang sedap. Ramai pencipta baharu yang bagus, tetapi saya tidak tahu kenapa magis itu tidak sama seperti dahulu. Tahun lepas saya hasilkan lagu Meriah Syawal, tetapi tidak menjadi seperti yang diharapkan.
“Saya pun tidak pasti apa ‘ramuan’ yang tidak kena, sama ada dari segi melodi atau seni kata. Walaupun radio memainkan banyak lagu raya baharu, pendengar masih suka mendengar lagu-lagu lama. Mengapa? Saya rasa ada sesuatu yang istimewa pada muzik era 1970-an,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada artis veteran anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), di sini semalam.
DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah yang juga Pengerusi YKAT, berkata era 1970-an merupakan tempoh revolusi muzik yang dipengaruhi irama “rock and roll” sebelum beralih ke muzik disko pada penghujung dekad berkenaan dan awal 1980-an.
pic-2
Mengimbau kenangan lagu ‘Menjelang Hari Raya’, DJ Dave berkata karya yang dirakamkan pada 1977 itu mencetuskan fenomena setahun kemudian dan terus dimainkan setiap kali menjelang Aidilfitri hingga kini.
“Masa itu memang seronok apabila tiga stesen radio memainkan lagu itu, dan sampai sekarang pun masih kedengaran di radio serta pelbagai platform, hampir 50 tahun kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh kebajikan anak seni, beliau berkata YKAT komited meneruskan usaha membantu artis veteran yang uzur serta berdepan kesempitan hidup menerusi pelbagai inisiatif pengumpulan dana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, setakat ini YKAT menyalurkan bantuan pencen bulanan sebanyak RM500 kepada lapan artis veteran selain menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
“Memang ramai artis yang susah. Ada yang sakit dan masuk hospital, kita bantu setakat yang mampu. Kadang-kadang kalau bantuan sekali tidak cukup, kita bagi dua atau tiga kali,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 17 artis veteran berusia 60 tahun ke atas menerima sumbangan persiapan Aidilfitri sebanyak RM1,000 seorang. Antara penerima ialah penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan Fairuz Husin, serta pelakon Zaidi Omar dan Farid Amirul Hisham Wu Abdullah.
-- BERNAMA