JOHOR BAHRU, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Muar untuk memastikan kemudahan kediaman yang lebih selesa dapat disediakan kepada anggota polis.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata semasa lawatan ke daerah Muar, beliau sempat turun padang melihat sendiri keadaan kuarters berkenaan yang telah lama uzur dan memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata semasa lawatan pihaknya mendapati beberapa unit telah rosak dan tidak dapat digunakan dengan baik, manakala kemudahan asas juga berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
“Kita semua sedia maklum bahawa pasukan PDRM memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, serta mereka bertugas siang dan malam demi memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan ‘whole-of-nation approach’ bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan anggota keselamatan sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Onn Hafiz berharap supaya usaha ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada anggota polis untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi keselamatan Bangsa Johor.
-- BERNAMA