PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim Zionis Israel menutup pintu Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif kepada para jemaah umat Islam, khususnya semasa bulan suci Ramadan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis berkata sekatan diskriminasi dan sewenang-wenangnya terhadap akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tempat ibadat di kawasan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta sejarah dan perundangan sedia ada yang mengawal selia tapak-tapak suci di Baitulmaqdis.
"Tindakan sedemikian merupakan satu lagi provokasi terhadap umat Islam dan seterusnya meningkatkan ketegangan di Wilayah Palestin yang Diduduki," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata Malaysia dengan tegas menolak langkah-langkah yang menyalahi undang-undang dan tidak berasas ini, serta mengecam usaha berterusan Israel untuk menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa.
Tambahnya, Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur mahupun ke atas tapak-tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut.
“Keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif seluas 144 dunam (144 ribu meter persegi) merupakan tempat ibadat umat Islam.
“Waqf Baitulmaqdis serta Jabatan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa, di bawah Kementerian Awqaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat-Tempat Suci Jordan kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran kawasan tersebut serta pengawalan akses ke dalamnya," menurut kementerian itu.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel agar menghentikan pelanggaran berterusan serta amalan-amalan yang menyalahi undang-undang terhadap tapak-tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.
Malaysia juga turut menyeru agar kesucian serta sejarah dan perundangan sedia ada tempat-tempat suci tersebut dihormati.
-- BERNAMA