AM

Lima Politeknik Diiktiraf Pusat Pembelajaran Bertauliah Oleh JAKIM

12/03/2026 08:52 PM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Lima politeknik menerima pengiktirafan sebagai Pusat Pembelajaran Bertauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 24 Feb lepas bagi melaksanakan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) di bawah inisiatif program Tekno-Huffaz.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Dr Shamsuri Abdullah berkata usaha berkenaan mencerminkan komitmen POLYCC dalam mengintegrasikan kecemerlangan teknikal dan penguasaan ilmu ukhrawi dalam pembangunan pelajar.

“Institusi Politeknik dan Kolej Komuniti terus komited bukan sahaja untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah turut memberi penekanan kepada pembentukan nilai, akhlak dan sahsiah terpuji dalam kalangan warganya,” katanya ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Sempena Bulan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di sini hari ini.

Lima politeknik berkenaan adalah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Pahang), Politeknik Sultan Azlan Shah (Perak), serta Politeknik Port Dickson dan Politeknik Nilai di Negeri Sembilan.

Shamsuri berkata POLYCC juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.

Ia termasuk usaha menaik taraf 10 politeknik premier menjelang 2036, memperluaskan penawaran program Ijazah Sarjana Muda bagi memenuhi keperluan sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara serta melaksanakan kajian impak dan hala tuju masa depan kolej komuniti.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Anesee Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533736