AM

Kerajaan Terus Pantau Kebajikan Tiga Ekor Gajah Yang Dihantar Ke Jepun

12/03/2026 09:09 PM

TANGKAK, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan kebajikan tiga ekor gajah dari Malaysia yang dihantar ke Jepun akan sentiasa dipantau rapi. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya amat berbesar hati dan mengambil kira keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Jepun pada 10 Mac lepas.

"Kita faham kebimbangan masyarakat dan netizen mengenai kesesuaian haiwan itu berada di negara beriklim berbeza.

"Bagaimanapun penghantaran itu dilakukan selepas melalui kajian dan persediaan rapi selama beberapa tahun bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terjamin," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Watikah Pelantikan Ranjer Komuniti dan Flag Off Operasi Bersepadu Khazanah Peringkat Semenanjung Malaysia 2026 di Dataran Ledang, di sini hari ini.

Katanya penghantaran gajah berkenaan sebenarnya merupakan sebahagian daripada perancangan konservasi yang telah dimulakan lebih 10 tahun lepas melalui perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo.

"Perjanjian itu bertujuan memperkukuh usaha pembiakbakaan dan meningkatkan populasi gajah melalui perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi konservasi.

“Teknologi konservasi di Jepun agak maju dan kita mahu melihat serta memanfaatkan pemindahan pengetahuan melalui kerjasama ini bagi membantu meningkatkan populasi gajah di negara kita,” katanya.

Beliau berkata sebelum tiga ekor gajah ini, iaitu seekor jantan dan dua betina dihantar ke Osaka, pihak kementerian telah menjalankan kajian serta proses penilaian ketat selama beberapa tahun bagi memastikan kemudahan dan fasiliti di zoo berkenaan memenuhi syarat yang ditetapkan Malaysia.

Arthur berkata pihak zoo di Osaka turut menaik taraf kemudahan termasuk fasiliti perubatan haiwan sebelum gajah berkenaan dihantar.

"Tiga orang mahut dari Malaysia turut dihantar bagi menemani dan membantu gajah berkenaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu untuk beberapa bulan sebelum proses penyesuaian sepenuhnya selesai.

"Dalam masa yang sama kementerian juga akan mengeluarkan laporan media dari semasa ke semasa bagi memaklumkan keadaan terkini gajah berkenaan kepada orang ramai," katanya. 

Terdahulu, penghantaran tiga ekor gajah dari Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke Jepun didakwa telah mencetuskan gelombang reaksi sedih dalam kalangan pengguna media sosial.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533744