SUKAN

Perbadanan Stadium Malaysia Umum Kerjasama Hak Penamaan Bersama Telekom Malaysia Bhd

13/03/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Stadium Nasional dan Stadium Putra di Bukit Jalil masing-masing akan dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena berkuat kuasa 6 Mac, 2026.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihaknya menjalinkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk tempoh tiga tahun.

Menurut kenyataan itu ia merupakan satu langkah penting untuk memastikan dua venue utama negara ini terus kekal relevan, selesa dan berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan serta hiburan bertaraf antarabangsa.

“Sebagai venue sukan dan hiburan terbesar negara, Stadium Nasional dan Stadium Putra bukan sekadar tempat berlangsungnya acara. 

“Kedua-dua stadium ini merupakan lokasi di mana detik bersejarah tercipta, semangat kebangsaan diperkukuh dan jutaan rakyat Malaysia berkumpul sebagai satu bangsa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra pihaknya komited untuk memastikan kedua-dua venue itu sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia. 

“Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue ini.

“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan.

“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah. 

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533956