AM

3,000 Orang Terima Baucar Pakaian Raya Sempena Program Sinar Syawal MADANI

13/03/2026 08:28 PM

KUANTAN, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 3,000 orang menerima baucar pakaian hari raya bernilai RM200 seorang menerusi Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026. 

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi menerusi hantaran di Facebook  berkata pihaknya mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan Aidilfitri.

“Penerima yang diraikan termasuk pelajar sekolah menengah tingkatan lima dan enam daripada keluarga asnaf, pelajar sekolah rendah kategori asnaf, anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz serta golongan ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Farhan berharap program seperti  itu dapat diteruskan bagi membawa kegembiraan kepada penerima khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

Menurut hantaran itu, program yang diadakan di Jakel Kuantan itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Azaha Awang, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim, Pengarah Jakel Kuantan Suhaimi Abdul Aziz serta Mudir Pusat Pendidikan Ribath Al Musthofa Kuantan Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534136