JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut, Stor Simpan Khemah Terbakar

13/03/2026 09:43 PM

JITRA, 13 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki maut akibat kebakaran di sebuah stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan lelaki berusia 37 tahun itu pada 5.50 petang.

Beliau berkata jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang tiba di lokasi pada 6.03 petang mendapati stor itu terbakar hampir 70 peratus.

“Maklumat awal daripada orang awam memaklumkan mangsa terperangkap di dalam stor, namun kemudian berjaya keluar dalam keadaan melecur. Mangsa kemudian rebah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 6.13 petang manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian sedang disiasat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534194