NILAI, 14 Mac (Bernama) -- Polis menahan 11 warga Myanmar dalam satu serbuan di sebuah premis pusat hiburan tanpa lesen dipercayai menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran RM10 sejam di Taman Semarak 2 dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dam sembilan wanita berusia 19 hingga 53 tahun.
Beliau berkata serbuan kira-kira 3.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan menjalankan operasi pusat hiburan dengan mengambil bekerja warga asing sebagai GRO serta mengenakan bayaran RM10 sejam bagi setiap GRO untuk menemani pelanggan di bilik karaoke,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari berkata pemeriksaan lanjut mendapati warga asing terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja, selain beberapa individu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan aktiviti hiburan, antaranya tablet pemilih lagu karaoke, mikrofon, sistem audio, televisyen, buku catatan perniagaan serta 49 tin minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.
Johari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA