AM

Kerajaan Perak Adakan Rumah Terbuka Aidilfitri Pada 21 Mac

14/03/2026 11:30 PM

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Stadium Indera Mulia pada 21 Mac ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata semua rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dialu-alukan menghadiri program berkenaan.

“Sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat (20 Mac), pada sebelah pagi kita akan berkumpul di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum pulang meraikannya bersama-sama keluarga.

"Pada hari Sabtu (21 Mac) pula, sebelah pagi kita akan menghadiri majlis sambutan Aidilfitri yang dianjurkan pihak istana, manakala sebelah petang kerajaan negeri akan menganjurkan rumah terbuka seperti biasa di Stadium Indera Mulia. Program itu diteruskan sepertimana setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk di sini hari ini.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534531