KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah telah menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar di negeri itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata kawasan baharu tersebut melibatkan lokasi di Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.
Beliau berkata ini bertujuan meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang.
"Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemantauan telah dilaksanakan bersama pegawai berkaitan bagi mengenal pasti sawah dan pengairan yang sesuai untuk dibangunkan.
Jamawi berkata usaha itu adalah bukti komitmen kementeriannya untuk memastikan langkah proaktif ke arah meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah.
Beliau berkata ini termasuk mengadakan sesi libat urus di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lepas bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan itu.
Beliau berkata sesi libat urus sama turut diadakan dengan pihak berkaitan di Kota Belud untuk mengenal pasti isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, Jamawi mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada beras import bagi memenuhi permintaan semasa penduduk.
“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA