JENAYAH & MAHKAMAH

Zamri Vinoth, Arun Dorasamy Akan Didakwa Esok

16/03/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy masing-masing akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Zamri Vinoth akan dituduh berhubung perhimpunan yang dirancang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada 7 Feb lepas manakala Arun berkaitan kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Zamri Vinoth akan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada 9 pagi.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Zamri Vinoth ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap penceramah bebas itu berhubung kenyataannya pada perhimpunan itu pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC). 

AGC kemudian mengeluarkan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Pada 13 Mac lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri Vinoth telah melarikan diri ke Thailand.

Beliau berkata usaha mengesan individu terbabit giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Sementara itu, Arun ketika dihubungi mengesahkan akan didakwa di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534999