KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyeru kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi minyak sementara kepada pengendali pengangkutan pelancongan susulan kenaikan harga bahan api, baru-baru ini.
Presiden MATTA Nigel Wong dalam satu kenyataan hari ini berkata kenaikan harga bahan api dijangka memberikan impak besar kepada sektor pelancongan.
“Pengendali pengangkutan pelancongan di seluruh Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu kemasukan pelancongan tempatan dan luar negara.
“Kebanyakan daripada pengendali ini telah pun menandatangani kontrak dengan agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa beberapa bulan lebih awal untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi pelancong.
“Harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan harga bahan api semasa kontrak ditandatangani. Dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini, pengendali kini berdepan kos operasi yang jauh lebih tinggi,” katanya.
Wong berkata keadaan ini memerlukan campur tangan segera bagi memastikan pengendali pengangkutan pelancongan dapat terus beroperasi dan menyokong ekosistem pelancongan.
“Pengendali pengangkutan pelancongan turut memainkan peranan penting dalam rantaian nilai pelancongan Malaysia, menyediakan perkhidmatan asas, untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan terjamin.
“Ramai pengendali komited dengan kadar kontrak tetap bersama agensi pelancongan berdasarkan harga bahan api sebelum ini. Kenaikan mendadak kos bahan api bermakna mereka terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan ini, yang boleh menambahn beban kewangan,” katanya.
Beliau berkata bantuan sementara dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sambil mengekalkan kemampanan rantaian penawaran pelancongan.
Wong berkata adalah penting untuk mengekalkan perkhidmatan pengangkutan pelancongan supaya berterusan berfungsi dengan baik ketika Malaysia bersedia menyambut lebih ramai pelawat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Bantuan yang tepat pada masanya untuk sektor ini akan membantu mengekalkan kualiti perkhidmatan, kestabilan industri, serta meningkatkan daya saing negara sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) turut menggesa kerajaan menyediakan bantuan segera bagi menangani kenaikan kos operasi pengusaha kenderaan pelancongan akibat kenaikan harga minyak dunia.
Naib Presiden (Pengangkutan) MITA / Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Logeswaran K. Sukumar dalam kenyataan hari ini berkata situasi itu memberikan tekanan besar kepada pengusaha yang masih dalam proses pemulihan pandemik.
Justeru, beliau mencadangkan pertimbangan kerajaan melaksanakan beberapa langkah bantuan bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan termasuk pemberian subsidi khas bahan api kepada pengusaha kenderaan pelancongan yang berdaftar.
Beliau berkata MITA turut mencadangkan pelaksanaan langkah bantuan termasuk geran khas bagi menampung kerugian operasi akibat kenaikan kos bahan api dan insentif bagi alat ganti untuk mengurangkan kos penyelenggaraan.
“Kami percaya dengan sokongan dan campur tangan kerajaan, industri pengangkutan pelancongan akan dapat terus bertahan dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara serta ekonomi Malaysia secara keseluruhannya. Lebih-lebih lagi Tahun Melawat Malaysia 2026 baru bermula,” katanya.
-- BERNAMA