GAYA HIDUP

Azhan Rani Tidak Lagi Rasai Kemeriahan Aidilfitri Sejak Kematian Bapa

17/03/2026 12:24 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

PETALING JAYA, 17 Mac (Bernama) -- Pelakon Azhan Rani mengakui kemeriahan sambutan Aidilfitri baginya tidak lagi seperti dahulu selepas bapanya meninggal dunia hampir sedekad lalu.

Azhan berkata ketiadaan bapanya yang meninggal dunia akibat kanser tiroid pada 2016 menyebabkan banyak tradisi keluarga berubah, sekali gus meninggalkan ruang kosong setiap kali menjelang Syawal.

“Arwah abah seorang yang suka buat suasana riuh-rendah. Dia akan pastikan makanan dan minuman semuanya penuh di meja. Sekarang semuanya kena buat sendiri, emak pun sudah tidak larat, suasana itu terasa sunyi.

“Bagi saya, Ramadan dan Aidilfitri sekarang terasa tidak sempurna, tetapi kena teruskan juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran filem pendek ‘Ya, Abah Saya Security’, di sini baru-baru ini.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi watak Ustaz Madi dalam drama bersiri 'Nur' itu turut mengakui dia tidak lagi menyarung baju Melayu pada pagi Syawal sejak pemergian bapanya.

pic-2

“Ketika ayah sakit, tahun terakhir sebelum raya dia pesan jangan buat baju Melayu. Kebetulan, masa itu saya ada penggambaran di Hulu Langat dan melihat orang jual kurta di masjid, jadi saya beli kurta warna kelabu. Itulah yang terakhir dia pakai.

“Kawan-kawan saya ramai yang menjadi duta baju Melayu dan setiap tahun mereka memberikan kepada saya. Tapi saya jarang memakainya, malah ada yang masih tersimpan di dalam kotak. Kalau pakai pun biasanya untuk watak dalam lakonan,” katanya.

Mengenai penglibatannya dalam filem pendek 'Ya, Abah Saya Security', Azhan berkata naskhah tersebut sangat dekat di hatinya kerana arwah bapanya juga pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

“Ketika saya melakonkannya, saya tidak rasa apa-apa sangat kerana menganggapnya sekadar lakonan biasa. Tetapi apabila menonton hasil akhirnya, saya teringat arwah abah.

“Saya pernah nampak dia pakai pakaian macam itu, duduk di tempat macam itu, buka tutup pagar dan saya pernah hantar makanan kepada dia waktu malam,” katanya.

Filem pendek terbitan D’Herbs dengan kerjasama Tangerine Pictures itu diinspirasikan daripada kisah benar kehidupan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman dengan arwah bapanya.

Naskhah arahan Bobby Husaini dan Bahri Umar itu turut menampilkan pelakon cilik Mikael Noah, selain Megat Sharizal Mohamed Yusoff dan Niezam Zaidi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535235