PASARAN

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Positif Pasaran Serantau

17/03/2026 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari Selasa, sejajar dengan prestasi positif pasaran serantau, disokong minat belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui sektor perkhidmatan kewangan serta produk dan perkhidmatan industri.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.15 mata atau 0.78 peratus kepada 1,709.71, berbanding 1,696.56 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu yang dibuka 6.60 mata lebih tinggi pada 1,703.16, bergerak antara 1,701.19 dan 1,713.25 dalam sesi pagi.

Sentimen keseluruhan pasaran positif, dengan 567 kaunter untung mengatasi 402 kaunter rugi. Sebanyak 420 kaunter tidak berubah, 1,332 tidak didagangkan, dan 21 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.60 bilion unit bernilai RM1.25 bilion.

Dalam satu nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pemulihan sentimen pasaran tempatan susulan peningkatan semalaman di Wall Street.

“Mengenai saham pilihan kami cenderung kepada TMK Chemical Bhd memandangkan produknya digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri serta menjadi asas kepada industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

“Sementara itu, peningkatan kapasiti Micron Technology dijangka meletakkan TMK pada kedudukan baik untuk memanfaatkan kitaran pemulihan,” katanya.

 Firma pembrokeran itu berkata harga minyak mentah dijangka stabil melebihi US$90 setong, berikutan kemajuan perlahan dalam usaha meredakan konflik serantau, yang berpotensi memberi manfaat kepada Hibiscus Petroleum Bhd dan Hengyuan Refining Company Bhd dalam tempoh terdekat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM11.58, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.86, dan Petronas Chemicals melonjak 14 sen kepada RM4.72, manakala SD Guthrie susut lima sen kepada RM5.75 dan Nestle merosot RM1.20 kepada RM101.00.

Dalam senarai paling aktif, Pharmaniaga naik 2.5 sen kepada 28 sen, pendatang baharu Pasaran ACE Adnex meningkat tiga sen kepada 23 sen, Zetrix AI naik satu sen kepada 78.5 sen, manakala VS Industry dan Handal Energy masing-masing meningkat setengah sen kepada 29 sen dan 3.5 sen.

Antara kaunter paling untung, United Plantations melonjak 54 sen kepada RM33.80, Allianz Malaysia naik 38 sen kepada RM21.54, Itmax System meningkat 25 sen kepada RM4.69, Fraser & Neave naik 24 sen kepada RM31.50, dan Malayan Cement bertambah 21 sen kepada RM6.83.

Selain Nestle, kaunter rugi utama termasuk Dutch Lady Milk Industries yang susut 36 sen kepada RM31.64, Westports turun tujuh sen kepada RM5.93, Gas Malaysia merosot 10 sen kepada RM5.24, dan Hengyuan Refining Company susut 6 sen kepada RM1.58.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 91.45 mata kepada 12,320.99, Indeks FBM Emas naik 91.59 mata kepada 12,476.36, Indeks FBM 70 melonjak 111.96 mata kepada 17,100.78, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 67.10 mata kepada 12,175.11, dan Indeks FBM ACE Index naik 23.52 mata kepada 4,398.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 206.63 mata kepada 20,618.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.27 mata kepada 177.29, Indeks Perladangan meningkat 9.82 mata kepada 8,527.65, manakala Indeks Tenaga susut 3.28 mata kepada 785.68.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535290