KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Persatuan Teqball Malaysia (MTA) berhasrat mencari bakat baharu, termasuk dalam kalangan bekas pemain sepak takraw, bagi memperkuat skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan utama, termasuk Sukan Asia 2026.
Presidennya J Siva Kumar berkata langkah itu dilihat relevan kerana pemain sepak takraw memiliki kelebihan dari segi kemahiran asas yang hampir sama dengan sukan teqball, sekali gus berpotensi membantu meningkatkan tahap permainan negara.
“Kita mahu menjemput bekas pemain sepak takraw dan mewujudkan jalinan kerjasama yang baik dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) supaya bakat yang tidak lagi meneruskan cabaran dalam sukan itu boleh beralih ke teqball.
“Kita pernah ada atlet wanita mewakili negara dalam sukan ini pada 2018 dan dia sebenarnya bekas pemain sepak takraw dari Sabah. Sebab itu saya rasa mungkin itulah faktor dia mampu menewaskan pemain Thailand kerana dia memang 100 peratus datang daripada latar belakang sepak takraw,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Namun, beliau mengakui usaha merekrut pemain baharu itu berdepan kekangan khususnya dari segi kemudahan latihan tetap yang sehingga kini belum dimiliki persatuan.
Namun, beliau mengakui usaha merekrut pemain baharu itu berdepan kekangan khususnya dari segi kemudahan latihan tetap yang sehingga kini belum dimiliki persatuan.
“Memang ada antara mereka berminat tetapi masalahnya kita tidak mempunyai tempat latihan tetap. Jadi mungkin mereka merasakan kita tidak serius kerana tiada fasiliti yang sesuai.
“Sebenarnya kami hanya memerlukan sebuah dewan bersaiz gelanggang badminton atau sepak takraw untuk menjalankan latihan secara konsisten,” katanya.
Mengulas cabaran di Sukan Asia nanti, Siva Kumar berkata Malaysia dijangka menyertai lima kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dengan Thailand dijangka menjadi pencabar utama.
“Bagi Sukan Asia, saya rasa sasaran realistik kita ialah mengekalkan pingat gangsa (di Sukan SEA Thailand 2025). Tetapi dengan latihan yang lebih sistematik, saya percaya peluang untuk meningkat kepada perak juga ada,” katanya.
Beliau berkata sebelum menghadapi temasya berprestij itu, skuad negara dijadual menyertai beberapa kejohanan pemanas badan termasuk Sukan Pantai Asia di Sanya, Sukan Dalam Dewan Asia serta penganjuran Liga Teqball Malaysia di Lembah Klang dengan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
— BERNAMA