KUCHING, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 750 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Sarawak pada Op Selamat 26 sempena Aidilfitri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam operasi selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac ini, tumpuan diberikan terhadap laluan utama bandar yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan serta kesesakan lalu lintas.
“Pegawai dan anggota polis akan diletakkan di lokasi terpilih yang sering berlaku kemalangan jalan raya dan kesesakan, selain turut menjalankan rondaan bagi memastikan setiap premis dan rumah dalam keadaan selamat serta bebas daripada ancaman jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru orang ramai agar memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah melalui pelbagai saluran yang disediakan bagi tujuan pemantauan.
Mohamad Zainal berkata berdasarkan statistik, jumlah kemalangan jalan raya semasa Aidilfitri tahun lepas mencatatkan penurunan kepada 332 kes pada 2025 berbanding 354 kes pada 2024 pada tempoh sama.
“Kes kemalangan maut turut menurun kepada lima kes berbanding tujuh kes pada tahun sebelumnya, menunjukkan keberkesanan langkah penguatkuasaan dan kesedaran awam,” katanya menambah Kuching kekal daerah yang mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 87 kes, diikuti Miri (50) dan Padawan (43).
-- BERNAMA