Oleh Jailani Hasan
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) hari ini memeterai perjanjian lanjutan operasi, kemudahan dan pengurusan serta perjanjian pemajakan bertujuan mengukuhkan lagi operasi pelabuhan dan perkhidmatan maritim di pulau bebas cukai itu.
Perjanjian yang ditandatangani itu akan menyaksikan MPM terus mengurus dan mengendalikan operasi Pelabuhan Labuan selama enam tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2032.
Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata perjanjian itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan persekutuan terhadap keupayaan syarikat dalam mengurus dan membangunkan pelabuhan itu.
“Kami ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan LPA atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada MPM untuk terus berkhidmat kepada industri maritim di sini,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian itu semalam.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) MOT Datuk Normah Osman, Pengerusi LPA Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Ketua Pengawai Eksekutif MPM Idjal Tahir.
MPM diwakili oleh Tiong, manakala Pengurus Besar LPA Mizool Amir Mat Drus menandatangani perjanjian itu bagi pihak LPA.
Sementara itu, Tiong berkata MPM kekal komited untuk bekerjasama rapat dgn LPA bagi memperkukuhkan ekosistem maritim Labuan dan mengembalikan kedudukan pulau itu sebagai hab perkapalan dan logistik di rantau ini.
Beliau berkata kedudukan Labuan yang strategik di sepanjang laluan perkapalan antarabangsa dan peranannya dalam menyokong aktiviti minyak dan gas luar pesisir, selain perdagangan dengan Sabah, Sarawak dan negara jiran di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, menjadikan pelabuhan itu sebagai pintu masuk utama ketersambungan serantau.
“Labuan mempunyai potensi yang sangat besar. Dengan kerjasama yang kukuh antara pemain industri dan pihak berkuasa, kami percaya pulau ini dapat menikmati kembali zaman kegemilangannya sebagai pusat maritim dan logistik yang terkenal di bahagian Asia Tenggara ini,” katanya.
Dalam pada itu, MPM yang mengambil alih operasi Pelabuhan Labuan pada 2018 dan sejak itu ia telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan operasi bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan.
Di bawah pengurusan MPM, pelabuhan itu berjaya meningkatkan operasi pengendalian kargo, sokongan logistik luar pesisir, dan perkhidmatan maritimnya, sambil mengekalkan kerjasama yang konsisten dengan agensi pengawal selia dan penguatkuasa.
Syarikat itu juga terus melabur bagi menaik taraf operasi dan pembangunan modal insan bagi meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan di pelabuhan.
MPM juga telah diiktiraf oleh beberapa badan industri atas sumbangannya kepada sektor maritim dan logistik, termasuk pengiktirafan daripada pertubuhan logistik profesional dan persatuan industri tempatan susulan komitmennya terhadap kecemerlangan operasi dan piawaian keselamatan pelabuhan.
Ketika ini, Pelabuhan Labuan berperanan sebagai pintu masuk maritim yang penting bagi menyokong peranan pulau itu sebagai hab perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir serta Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.
Selain mengendalikan kontena dan kargo am, pelabuhan itu turut menyokong aktiviti penempatan kapal, bekalan logistik luar pesisir, perkhidmatan bunker dan persinggahan kapal persiaran.
Tiong berkata pelabuhan kini memainkan peranan lebih meluas melangkaui pengendalian kargo, berfungsi sebagai pintu masuk logistik bersepadu yang menyokong aktiviti perdagangan, pelancongan dan perindustrian.
“Memandangkan Labuan terus meletakkan dirinya sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, peranan pelabuhan menjadi lebih penting dalam menyokong aspirasi ekonomi pulau itu,” katanya.
Beliau menambah bahawa MPM akan terus meningkatkan kemudahan pelabuhan, mengukuhkan pematuhan keselamatan dan memperluas perkhidmatan maritim bagi memenuhi keperluan industri perkapalan serta luar pesisir yang sentiasa berubah.
-- BERNAMA