KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia stabil pada separuh kedua 2025 berikutan kelemahan awal, dengan peningkatan beransur-ansur dijangka pada separuh pertama 2026, kata Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM).
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata pengeluaran dan penggunaan kapasiti pulih secara sederhana, menunjukkan keadaan operasi yang bertambah baik, walaupun permintaan kekal tidak sekata.
“Jualan tempatan dan eksport meningkat tetapi kekal di bawah ambang neutral (100), menunjukkan kelemahan permintaan yang berterusan,” katanya pada Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi taklimat media separuh kedua 2025 di sini hari ini.
Tekanan kos kekal tinggi walaupun menyederhana daripada kemuncak sebelumnya, manakala pelaburan modal menokok sedikit dan pekerjaan secara amnya kekal kukuh, mencerminkan sentimen perniagaan yang berhati-hati.
Lee ketika mengulas mengenai hasil berkata jangkaan kekal positif sederhana, dengan hampir separuh daripada syarikat meramalkan jualan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, keuntungan dijangka sederhana, menunjukkan pengembangan secara beransur-ansur dan bukannya kukuh.
"Prospek keuntungan kekal bercampur-campur apabila kos operasi yang tinggi terus mengekang margin, menekankan tekanan kos berterusan yang dihadapi oleh pengeluar," tambahnya.
Lee berkata peningkatan kos input kekal sebagai kekangan yang paling banyak disebut, diikuti dengan persaingan yang semakin sengit dan permintaan yang lemah, manakala perkembangan perdagangan global dan risiko geopolitik terus menjejaskan keadaan operasi.
Tinjauan edisi ke-28 itu telah dijalankan antara 12 Jan hingga 27 Feb, 2026, meliputi 631 responden di seluruh negara merentasi 15 subsektor pembuatan.
Majoriti responden adalah daripada segmen makanan, minuman dan tembakau, elektrik dan elektronik, serta kimia dan produk kimia, dengan Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang dikenal pasti sebagai wilayah penyumbang utama.
Perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 70.7 peratus daripada responden, dengan firma kecil membentuk bahagian terbesar responden.
Menurut tinjauan itu, indeks aktiviti perniagaan melantun semula kepada 103 pada separuh kedua 2025 daripada 77 yang disaksikan semasa separuh pertama, menandakan penstabilan, walaupun pengembangan kekal sederhana.
Jualan tempatan dan eksport masing-masing meningkat kepada 94 serta 93 daripada 69 dan 77, tetapi kekal di bawah ambang neutral, manakala pengeluaran dan penggunaan kapasiti kedua-duanya naik kepada 102 daripada 83 dan 80, masing-masing.
Melihat ke hadapan, indeks berkenaan diunjurkan pada 104 menjelang separuh pertama 2026, dengan jangkaan hasil sederhana positif tetapi prospek keuntungan kekal bercampur-campur berikutan tekanan kos yang berterusan.
Lee berkata konflik Amerika Syarikat-Iran yang berpanjangan menimbulkan risiko tambahan kepada sektor pembuatan, walaupun impaknya masih terkawal pada peringkat sekarang.
"Malaysia menghadapi risiko ekonomi sederhana tetapi terurus yang timbul daripada konflik Iran. Kenaikan harga tenaga, kos pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan boleh melonjakkan kos pengeluaran dan logistik bagi pengilang," katanya.
Pengilang sudah pun memerhatikan peningkatan dalam kos logistik, insurans, pengangkutan dan tenaga, walaupun kesan keseluruhan terhadap operasi masih belum menjadi ketara.
Banyak firma masih menerima pesanan yang sihat, dengan ada kalangan mereka mempercepatkan transaksi untuk mengurangkan potensi kenaikan kos pada masa depan, katanya.
"Ramai yang tergesa-gesa membuat pesanan untuk mengelakkan diri mereka daripada kos yang lebih tinggi. Jika mereka tidak membuat pesanan sekarang, harga mungkin meningkat kemudian. Akibatnya, lebih banyak transaksi dan jualan telah dimuktamadkan," kata Lee.
-- BERNAMA