JENAYAH & MAHKAMAH

Premis 'Kesihatan' Aktiviti Tidak Bermoral: Lima Lelaki Termasuk Dua Pengarah Didakwa 

17/03/2026 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Dua pengarah sebuah pusat kesihatan di Chow Kit yang dipercayai menjadikan premis itu untuk aktiviti seksual songsang dan tidak bermoral antara lima lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas pelbagai kesalahan.

Dua pengarah itu ialah Lee Leong Yaw, 59 dan Pung Hiyun Hee, 70, pekerja mereka, Ong Seng Teck, 64, serta dua individu lain iaitu Mohd Fikri Mohd Razali, 44, dan Muhammad Wafiy Dinie Azmi, 20.

Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S.Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd Halim dan IIli Marisqa Khalizan.

Di hadapan Majistret Arunjothy, Lee dan Pung didakwa bersama-sama membenarkan aktiviti tidak bermoral dijalankan di premis mereka selain aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen iaitu aktiviti sauna, jakuzi, steam, aerobik, pusat kecergasan, gimnasium, kedai kopi dan kafe. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Ipoh Kecil, Chow Kit di sini pada 8 malam, 28 Nov 2025 mengikut Seksyen 20 (1)(c) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 38 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000.

Seksyen itu turut memperuntukkan penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan berterusan, denda maksimum RM200,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan selepas disabitkan.

Di mahkamah sama, Ong pula didakwa memiliki sebuah telefon bimbit mengandungi video lucah di dewan serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11.15 pagi, 30 Nov 2025, mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Noorelynna Hanim, Mohd Fikri didakwa memiliki sebuah telefon bimbit mengandungi gambar dan video lucah di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman serupa.

Di hadapan Majistret IIli Marisqa, Muhammad Wafiy Dinie didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan meraba bahagian dada dan paha seorang lelaki berusia 47 tahun di premis sama di Jalan Ipoh Kecil, Chow Kit di sini pada 8 malam, 28 Nov 2025.

Lee dan Pung dibenarkan diikat jamin RM2,000 setiap seorang, Ong (RM3,800), Mohd Fikri (RM4,000) manakala Muhammad Wafiy Dinie dibenarkan jaminan RM2,800.

Ketiga-tiga mahkamah itu menetapkan 18 Mei, 9 Jun dan 24 April ini untuk sebutan kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi'Asnita Zaina'Larifin, Iman Nurhidayah Ezani dan Syafika Azwa Fikri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zaid Malek, Mahajoth Singh, Reenajit Kaur Golen, Raqib Osman dan S.Jeichandran.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535382