KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Skuad badminton para negara kini memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama antarabangsa sebagai medan penting dalam usaha memburu slot kelayakan ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, Oktober depan.
Pengurus Para Persatuan Badminton Malaysia (BAM), R. Ravendran berkata keutamaan ketika ini adalah mengumpul mata ranking dunia yang akan berakhir hujung Julai ini, dengan kejohanan berkenaan menjadi penentu kedudukan pemain negara.
“Fokus utama kita adalah tiga kejohanan besar. Antaranya di Dubai namun sedang pantau keadaan geopolitik di sana. Kalau ada masalah kita juga ada rancang langkah alternatif untuk sertai kejohanan lain.
“Antaranya untuk atlet yang berada dalam kelompok 12 terbaik dunia, mereka akan fokus kepada kejohanan Spanish Para Badminton International 2026 serta British & Irish Para Badminton International bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.
Ravendran berkata lima atlet dijangka dipilih untuk beraksi pada temasya berkenaan yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Okt depan.
Sementara itu, beliau menegaskan aspek kesihatan dan keselamatan atlet kekal menjadi keutamaan dalam persiapan menjelang temasya berkenaan.
Untuk rekod, skuad para badminton negara meraih dua pingat perak dan dua gangsa pada edisi 2022 di Hangzhou, China.
-- BERNAMA