BUKIT MERTAJAM, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 14,000 ekor ayam diagihkan kepada penduduk di Parlimen Permatang Pauh menerusi 29 masjid di kawasan itu sebagai persediaan kepada orang ramai untuk menyambut Aidilfitri.
Pegawai Pusat Khidmat Rakyat MADANI Permatang Pauh Ahmad Zhafri Mohd Nazri berkata sumbangan itu ialah inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
"Program agihan itu dilaksanakan di 29 masjid dan satu lokasi di Yayasan Aman dengan setiap masjid menerima agihan berbeza bergantung pada jumlah kariah, purata antara 500 hingga 700 ekor ayam.
"Pengurangan jumlah agihan tahun ini berbanding 28,000 ekor ayam tahun lepas, disebabkan program tidak dapat dilaksanakan pada hari Jumaat seperti tahun sebelumnya, yang menyaksikan kehadiran lebih ramai penerima selepas solat Jumaat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan ayam kepada orang ramai di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Sebanyak 400 ekor ayam disediakan di Yayasan Aman dan habis diagihkan tidak sampai 15 minit apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya.
Mohd Zhafri berkata inisiatif tersebut merupakan hasrat Perdana Menteri agar dapat meringankan beban rakyat, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Seorang warga emas Siti Zaitun Mustafa, 70, meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan ayam dan menyifatkan langkah itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan, khususnya dalam menyediakan juadah untuk hari raya.
“Saya tahu mengenai bantuan ini daripada jiran dan juga makluman di masjid, … dan bercadang untuk memasak ayam sebagai juadah Aidilfitri nanti.
“Alhamdulillah, dengan bantuan seperti ini, bolehlah berjimat sikit untuk raya nanti," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas inisiatif itu.
-- BERNAMA