PASARAN

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Apabila Tekanan Di Selat Hormuz Reda

17/03/2026 07:53 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum kenaikan untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila laporan mengenai beberapa kapal dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan selamat telah mengurangkan permintaan terhadap mata wang selamat.

Laporan itu turut mendorong peningkatan nilai mata wang serantau.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9155/9200 berbanding dolar AS daripada 3.9260/9310 ketika ditutup semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata laluan perkapalan penting itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan beberapa kapal utama melalui kawasan tersebut dalam tempoh 24 jam lepas walaupun selat itu dilaporkan hampir ditutup sepenuhnya.

“Sebuah kapal Pakistan, Aframax telah melepasi Selat Hormuz dan sedang menuju ke Karachi manakala pergerakan kapal berkaitan Iran turut meningkat ketara, dengan kira-kira 12 kapal melalui kawasan itu dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk sebuah kapal pengangkut minyak mentah berskala besar (VLCC) yang menuju ke China.

“Perubahan ini mengurangkan tekanan panik terhadap dolar AS dan memberi sedikit kelegaan bagi mata wang serantau,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata aliran pergerakan kapal di Selat Hormuz yang semakin mudah merupakan petunjuk positif yang menyokong pengukuhan ringgit, mencerminkan pasaran sedang menilai semula risiko dan bukannya mengambil kira gangguan berskala penuh.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus kekal berdaya tahan walaupun wujud kebimbangan berpanjangan mengenai bekalan minyak dan gas ekoran konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.

Beliau berkata pasaran juga sedang mengikuti rapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) selama dua hari bermula hari ini, dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan Kadar Dana Persekutuan (FFR) dikekalkan pada paras 3.75 peratus.

“Pada masa sama, sentimen lemah dalam kalangan perniagaan dan isi rumah di AS juga berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) AS juga susut sebanyak 92,000 pekerjaan pada Februari manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.4 peratus daripada 4.3 peratus sebelum ini.

“Ini menunjukkan terdapat tanda-tanda aliran lembap dalam pasaran buruh. Setakat ini, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat secara beransur-ansur dan kini berada sekitar paras 100 mata,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4603/4632 daripada 2.4639/4672 ketika ditutup semalam, namun turun berbanding pound British kepada 5.2205/2265 daripada 5.2008/2074.

Ringgit juga susut berbanding euro kepada 4.5063/5115 daripada 4.4945/5002.

Ringgit tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang donmestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0635/0673 daripada 3.0650/0692 ketika ditutup pada Isnin, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.3/230.7 daripada 230.9/231.3.

Ringgit lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.56 daripada 6.55/6.56 semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.0957/1167 daripada 12.0644/0857.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535440