KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Sebarang perubahan dasar dalam industri e-hailing perlu dikaji dengan teliti kerana boleh memberi implikasi luas kepada keseluruhan ekosistem perkhidmatan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan dikemukakan oleh kumpulan pemandu e-hailing mengenai ketiadaan dasar tambang lantai atau minimum dalam industri berkenaan dan isu itu akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).
“Sebarang perubahan dasar akan memberikan implikasi tertentu. Walau bagaimanapun, suruhanjaya (SEGiM) telah pun ditubuhkan dan isu berkaitan komisen serta kadar tambang akan dibincangkan di peringkat tersebut nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni dan mengedarkan 500 pek hari raya kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KL Sentral, di sini hari ini.
Baru-baru ini, pertubuhan Sahabat E-hailing Malaysia menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia struktur harga perkhidmatan e-hailing memandangkan terdapat ruang eksploitasi terhadap pemandu di bawah dasar sedia ada.
Menurut pertubuhan itu, kuasa penetapan tambang e-hailing diberikan sepenuhnya kepada syarikat penyedia perkhidmatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 (Akta A1552).
Kumpulan berkenaan memberi amaran bahawa tanpa penetapan harga lantai, pemandu akan terus terdedah kepada eksploitasi serta berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.
-- BERNAMA