KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menumpukan pemantauan di 59 lokasi di seluruh negara yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan serta kesesakan trafik sepanjang pelaksanaan Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata operasi siri ke-26 itu berlangsung selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac, dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut, selain memastikan aliran trafik lancar serta mencegah jenayah.
“Dianggarkan sebanyak 2.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama sepanjang tempoh berkenaan.
“Operasi ini mengguna pakai konsep perkhidmatan pencegahan awal dan penguatkuasaan menyeluruh, melibatkan persiapan rapi serta penyelarasan semua kontinjen polis di seluruh negara, selain kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan operasi itu di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 5,544 anggota JSPT akan digerakkan sepanjang operasi bagi memperkukuh penguatkuasaan dan membantu pengguna jalan raya.
“Bagi meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan, sebanyak 25 pasukan Unit Tindak Balas Kecemasan akan ditempatkan di 11 lokasi strategik di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan laluan Pantai Timur.
“Pasukan ini akan bersiap siaga untuk memberi bantuan segera kepada pengguna jalan raya yang berdepan kerosakan kenderaan atau kecemasan,” katanya.
Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut melaksanakan larangan pergerakan kenderaan berat pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menurut beliau JSPT bekerjasama dengan rakan strategik antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyalurkan maklumat trafik kepada orang ramai.
Selain menasihatkan pengguna merancang perjalanan lebih awal, mendapatkan maklumat trafik terkini dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, mereka juga diingatkan mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta kekal sabar dan berdisiplin ketika di jalan raya.
“Pengguna juga diingatkan agar mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan jenayah sebelum meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan,” katanya.
-- BERNAMA