DUNIA

Lebih 70,000 Premis, Kemudahan Awam Rosak Akibat Serangan AS-Israel Di Iran

20/03/2026 09:45 AM

TEHRAN, 20 Mac (Bernama-Anadolu) -- Lebih 70,000 premis dan kemudahan awam rosak akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, kata Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pada Khamis.

Anadolu Ajansi melaporkan Pir Hossein Kolivand sebagai berkata bahawa serangan itu turut mencederakan lebih 18,000 orang awam.

“Serangan itu mengakibatkan kerosakan terhadap lebih 70,000 premis dan kemudahan awam,” kata Kolivand dalam kenyataan yang dipetik oleh pewarta Anadolu.

Beliau menambah bahawa sebanyak 251 pusat perubatan dan 498 kemudahan pendidikan turut rosak akibat serangan berkenaan.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kecederaan serta kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536202