AM

Penyampai Radio Gina Dhaliwal Kembali Selepas 13 Tahun Menerusi Sama Sama Oye!

20/03/2026 06:10 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Penyampai radio Gina Dhaliwal kembali ke arena penyiaran selepas 13 tahun menyepi dengan pelancaran Sama Sama Oye! platform radio digital pertama Malaysia khusus untuk kandungan hiburan Bollywood dan Punjabi.

Gina, pengasas dan RJ (Radio Jockey) Sama Sama Oye!, dan lebih mesra dikenali sebagai Ratu Bollywood berkata inisiatif itu diwujudkan berikutan tiada platform radio Bollywood yang khusus di Malaysia.

Keputusan membuat kemunculan semula, menurut Gina didorong oleh permintaan berterusan daripada pendengar yang masih mengingati segmen dikendalinya sebelum ini, selain mencari pengalaman radio yang lebih menarik serta interaktif yang mengetengahkan muzik dan budaya Bollywood.

“Setiap kali bertemu peminat, mereka bertanya mengapa tiada radio Bollywood di Malaysia seperti segmen saya kendalikan dahulu. Platform muzik dalam talian memberikan akses kepada lagu tetapi tidak dapat menggantikan interaksi yang ditawarkan radio,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Gina mengendalikan segmen popular Hindi Power di THR yang kemudiannya diteruskan di Astro sebelum dihentikan bagi memberi laluan kepada peralihan THR Raaga menjadi stesen radio Tamil 24 jam sepenuhnya.

Platform radio digital itu mula bersiaran pada 16 Mac, selepas soal selidik melibatkan lebih 2,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 50 tahun menyatakan minat mendalam terhadap kandungan Bollywood serta peningkatan permintaan terhadap muzik Punjabi.

Beroperasi dari studio ringkas serba moden di Subang Jaya, Selangor, Sama-Sama Oye! yang mempunyai 10 petugas termasuk lima penyampai radio setakat ini, merancang untuk berkembang melalui inisiatif seperti Pertandingan Pencarian RJ Oye! untuk mencari bakat baharu termasuk penyampai berbahasa Melayu yang berminat dalam hiburan Bollywood.

Gina berkata podcast menjadi teras utama strategi kandungan platform yang menampilkan format audio dan video itu, dengan kehadiran pakar Malaysia untuk memperluas pendedahan pendengar melangkaui hiburan.

Selain itu, podcast The Punjabi Room yang diperkenalkan kali pertama, melibatkan tetamu Punjabi Malaysia membincangkan cabaran, budaya dan pencapaian komuniti itu di Malaysia yang dikendalikan dalam bahasa tersebut.

Pada masa hadapan, Gina berkata platform itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama tempatan, menyokong penglibatan jenama dan menganjurkan inisiatif berasaskan komuniti seperti pameran kerjaya serta sesi rangkaian yang bertujuan memberi manfaat kepada pendengar.

Gina berkata platform yang diletakkan sebagai perkhidmatan penstriman radio digital Bollywood dan Punjabi pertama negara itu boleh diakses melalui aplikasi mudah alih dan pelayar web di samasamaoye.com, dengan kemas kini tersedia di semua platform media sosial rasminya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536347