KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan sambutan Aidilfitri dijadikan jambatan untuk mengukuh perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai bangsa di negeri ini.
Dalam perutusan sempena Aidilfitri, baginda bertitah bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi medan menyemai nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam dan memperkukuh ukhuwah sesama manusia.
"Betapa indahnya suasana sambutan Aidilfitri yang dihadiri oleh sahabat handai, kerabat dan keluarga berlainan bangsa dan agama. Amalan ini mengambil semangat daripada kata-kata hikmah isteri Rasulullah SAW, Saiditina Aisyah RA yang bermaksud 'ziarahlah sekali-sekala, nescaya kasih sayang sesama kami akan bertambah'.
"Tradisi sambutan Aidilfitri di tanah air kita bukan sekadar menunaikan ketaatan kepada Allah, tetapi turut memancarkan keindahan adat resam tempatan," titah baginda.
Bagaimanapun, dalam umat Islam menyambut kegembiraan, Sultan Mizan turut menitahkan agar rakyat yang berkemampuan peka serta menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
Baginda bertitah rakyat mengambil peluang tersebut untuk melipat gandakan pahala di samping memberi peluang kepada golongan miskin merasai kemeriahan hari raya.
"Dalam kita berhari raya dan bersuka ria, janganlah dilupa yang kurang berkemampuan. Ambillah peluang ini untuk menyantuni serta membantu sekadar kemampuan agar mereka juga dapat merasakan kemeriahan hari raya.
"Semoga dengan keprihatinan kita, ia dapat memberi sinar untuk mereka terus berjuang mengharungi kehidupan ini," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Mizan juga menasihatkan rakyat menyambut Aidilfitri dalam keadaan bersederhana, ziarah-menziarahi bagi menyemarakkan serta mengukuhkan silaturahim.
Sementara itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan sambutan Aidilfitri tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian serta keberkatan kepada seluruh rakyat di negeri ini, selain terus memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua mengingatkan umat Islam menghayati maksud sebenar Aidilfitri sebagai hari kesyukuran setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan.
“Baginda berdua turut menyeru rakyat supaya menggunakan kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim, memperbaiki hubungan sesama insan serta saling bermaafan,” menurut hantaran itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman sentiasa berhemah dan mengutamakan keselamatan ketika memandu bagi memastikan kegembiraan menyambut hari raya tidak bertukar duka akibat kecuaian di jalan raya.
-- BERNAMA