GENEVA, 22 Mac (Bernama-dpa) -- Sekurang-kurangnya 64 orang terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah fasiliti kesihatan di Sudan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Hospital Pengajaran Al Deain di ibu kota Darfur Timur telah terkena serangan pada malam Jumaat.
Serangan itu turut menyebabkan 89 orang cedera serta merosakkan bahagian pediatrik, bersalin dan kecemasan hospital berkenaan, kata Tedros.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kematian berkaitan serangan terhadap fasiliti kesihatan semasa perang di Sudan kini melebihi 2,000 orang.
“Cukup sudah pertumpahan darah. Cukup sudah penderitaan yang ditimpakan. Sudah tiba masanya untuk meredakan konflik di Sudan dan memastikan perlindungan terhadap orang awam, petugas kesihatan dan pekerja kemanusiaan,” kata Tedros.
“Perkhidmatan kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran. Keamanan ialah ubat terbaik.”
Kumpulan hak asasi Sudan, Emergency Lawyers, melaporkan bahawa serangan itu merupakan serangan dron tentera yang mengenai hospital berkenaan.
Sudan dilanda perang sejak April 2023, dengan pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan konflik itu sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan kira-kira 12 juta orang kehilangan tempat tinggal dan separuh penduduk menghadapi kebuluran.
-- BERNAMA-DPA