JOHOR BAHRU 23 Mac (bernama) -- Tourism Malaysia hari ini meraikan kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa di sembilan lapangan terbang utama seluruh negara secara serentak dengan acara sambutan perayaan Aidilfitri bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Program sambutan yang dijalankan di lapangan terbang utama termasuk di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak itu bukan sekadar acara keraian malah sebagai strategi serampang dua mata Tourism Malaysia di bawah kempen TMM2026.
Di Johor, sambutan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Senai apabila ketibaan pelancong dari Bangkok, Thailand dan pelawat domestik disambut dengan suasana tradisi sambutan Hari Raya serta pemberian beg cenderahati berisi kuih kapit tajaan Desaru Fruit Farm, air minuman dan cenderamata rasmi VM2026.
Sambutan dimeriahkan dengan persembahan muzik gambus, persembahan tarian, joget lambak dan gimik mengacau dodol yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
Menambah kemeriahan, maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja turut tampil dengan busana bertemakan perayaan Aidilfitri serta menawarkan peluang bergambar secara interaktif, sekali gus memperkayakan pengalaman pelawat yang tiba di Malaysia.
Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia, Amirul Ariffin Md Nasir berkata pendekatan seumpama ini menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang meraikan kepelbagaian kaum dan perbezaan dengan setiap perayaan pelbagai bangsa dan agama disambut meriah.
"Ini adalah satu hasrat yang kita zahirkan daripada kerajaan MADANI untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sentiasa menyambut ketibaan pelancong dengan senyuman dan kegembiraan dan acara (seumpama ini) akan diteruskan dengan perayaan lain," katanya pada sidang media selepas program sambutan tersebut, di sini.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Johor) Nurazlin Abu Talib, Pengurus Besar LTA Senai Noor Safura Suib serta pemilik Desaru Fruit Farm Johor Alice Tong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Kennedy Ayu menerusi satu kenyataan berkata lapangan terbang bukan sekadar hab pengangkutan malah ia merupakan ‘wajah pertama’ sesebuah destinasi.
Beliau berkata penganjuran aktiviti perayaan di lapangan terbang merupakan antara strategi yang dapat memberikan pengalaman ketibaan yang bermakna, memperkukuh penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berbudaya, selamat dan mesra pelawat.
“Inisiatif di pintu masuk antarabangsa itu juga berupaya meninggalkan pengalaman positif kepada pelawat serta menggalakkan kunjungan berulang,” katanya.
Selain itu, katanya, acara sambutan sedemikian dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat global serta menyokong pembangunan mampan sektor pelancongan negara.
--BERNAMA