JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Dua Kapal Tangki Pindah Minyak Tanpa Kebenaran

24/03/2026 02:51 PM

IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (bunkering) tanpa kebenaran berdekatan Pulau Jarak dekat Lumut semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata penahanan itu dilakukan kira-kira 8 malam pada kedudukan 11 batu nautika timur Pulau Jarak menerusi Ops Sayong 1/2018, Ops Khas Tanjung 2 dan Ops Khas Pagar Laut 1/2026. 

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tangki itu disyaki menjalankan aktiviti ‘bunkering’ tanpa kebenaran dan bersauh di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Minyak jenis bahan api marin (MFO) dianggarkan kira-kira 750 metrik tan dipercayai telah dipindahkan ke kapal tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua kapal itu juga diarahkan bersauh kira-kira 11.5 batu nautika timur Pulau Jarak bagi tujuan penyerahan kepada pegawai penyiasat APMM Perak dengan pemantauan dibantu Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

Mohamad Shukri berkata kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 serta peruntukan berkaitan di bawah peraturan Jabatan Laut Malaysia kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran dan bersauh di kawasan tidak dibenarkan.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537075