DUNIA

Senat AS Sahkan Mullin Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Baharu

24/03/2026 05:45 PM

WASHINGTON, 24 Mac (Bernama-dpa) -- Senat Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengesahkan Senator Oklahoma Markwayne Mullin sebagai setiausaha baharu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menerusi keputusan undian 54-45, lapor agensi berita Jerman (dpa). 

Mullin, 48, anggota Parti Republikan, sebelum ini berkhidmat selama 10 tahun di Dewan Perwakilan AS dan telah menjadi senator selama tiga tahun. 

Pengesahan jawatan beliau susulan tindakan Presiden AS Donald Trump memecat Kristi Noem sebagai setiausaha DHS awal bulan ini dan mencalonkan Mullin sebagai penggantinya.

Noem, yang pernah menjadi calon pilihan Trump untuk jawatan itu, menimbulkan kontroversi kerana penguatkuasaan imigresen yang agresif jabatan itu.

Beliau berdepan tekanan berhubung operasi agresif agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS, yang merupakan sebahagian daripada DHS.

Awal tahun ini, dua warga AS dibunuh oleh pegawai ICE dalam tembakan berasingan. 

Imej awam Noem semakin terjejas kerana kempen pengiklanan yang mahal dan dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang pembantunya.

Mullin dilihat sebagai perunding pragmatik dan telah memberikan isyarat beliau akan menggunakan nada yang lebih sederhana berbanding Noem.

 Dalam sidang perbicaraan sebelum pengesahannya, belia mengakui berkawan dengan Noem tetapi berkata gaya kepimpinan mereka berbeza. 

 Beliau kini menghadapi cabaran untuk melaksanakan dasar pengusiran keras Trump dan pada masa sama mengelak kritikan orang ramai.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537183