Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah, kata peniaga.
Beliau berkata harga minyak mentah meningkat berikutan kebimbangan mengenai bekalan selepas Iran menafikan pihaknya telah mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik Asia Barat.
Perkara itu bercanggah dengan dakwaan Presiden AS Donald Trump bahawa satu perjanjian boleh dicapai dalam masa terdekat, katanya.
Ketika laporan ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 1.02 peratus kepada US$101.0 setong.
Peniaga berkata sentimen pasaran juga didorong oleh harga getah sintetik yang lebih tinggi, yang menggalakkan peralihan lebih ketara kepada getah asli.
“Lonjakan terkini bagi harga getah butadiena menyebabkan pengeluar menggantikan getah sintetik dengan getah asli,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun, momentum kenaikan harga getah hari ini dihadkan oleh isyarat bercampur-campur berkaitan konflik Asia Barat serta kebimbangan berterusan mengenai kesan ekonomi.
“Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia, pertumbuhan perdagangan barangan global akan perlahan dengan ketara kepada 1.9 peratus tahun ini berbanding 4.6 peratus pada 2025, dan boleh merosot lebih buruk jika perang Asia Barat terus meningkatkan harga tenaga dan mengganggu pengangkutan global,” katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 16 sen kepada 774.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 678 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup dari Jumaat (20 Mac) hingga Isnin (23 Mac) susulan cuti umum sempena Aidilfitri dan kembali beroperasi hari ini.
-- BERNAMA