AM

Cuaca Panas Melampau: Risiko Kesihatan Awam Meningkat - Pakar

24/03/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini bukan sahaja meningkatkan risiko kesihatan secara mendadak, malah boleh memberi kesan jangka panjang kepada tubuh termasuk komplikasi serius seperti strok haba.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata risiko kesihatan akibat cuaca panas boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu kesan mendadak dan kesan jangka panjang.

Beliau berkata antara kesan mendadak ialah strok haba apabila tubuh terdedah kepada suhu tinggi secara berterusan sehingga gagal mengadaptasi keadaan tersebut, sekali gus mengganggu sistem kardiovaskular.

“Keadaan ini biasanya berlaku kepada individu yang tidak biasa terdedah kepada suhu panas atau terdedah secara tiba-tiba kepada suhu tinggi. Ia lebih ketara kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti buah pinggang, darah tinggi, pesakit yang menjalani kemoterapi, warga emas serta individu dengan masalah autoimun,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Malina berkata strok haba adalah serius kerana boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat segera manakala cuaca panas dalam jangka panjang pula menyebabkan dehidrasi atau kekurangan air dalam tubuh yang boleh menjejaskan fungsi fisiologi badan.

“Keadaan ini juga boleh memburukkan lagi penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan masalah buah pinggang, selain menyebabkan tekanan serta ketidakselesaan yang boleh menjejaskan kesihatan mental termasuk kemurungan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya memberi perhatian khusus kepada golongan rentan bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada kesan haba melampau, termasuk memastikan pesakit kronik dan warga emas dilindungi daripada pendedahan haba serta mengambil ubat-ubatan bersama jumlah air yang mencukupi.

Dr Malina juga mencadangkan agar setiap rumah mempunyai ruang yang boleh menampan haba, khususnya ketika waktu suhu memuncak pada tengah hari, sama ada melalui pengudaraan baik, penggunaan kipas atau penyaman udara bagi mereka yang berkemampuan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Dr Aryati Ahmad menekankan kepentingan meningkatkan pengambilan air kosong, buah-buahan serta makanan seimbang bagi membantu mengekalkan hidrasi tubuh.

“Kurangkan pengambilan makanan terlalu manis, masin dan berlemak kerana ia boleh menyebabkan badan cepat haus, lesu dan tidak selesa dalam cuaca panas,” katanya.

Beliau berkata aspek penyimpanan makanan juga perlu diberi perhatian serius kerana suhu tinggi boleh menyebabkan makanan cepat rosak dan meningkatkan risiko keracunan makanan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip pula berkata orang ramai perlu mengelakkan pendedahan terlalu lama di kawasan terbuka, khususnya ketika cuaca panas melampau.

“Langkah terbaik adalah mengelakkan berada di kawasan terbuka dalam tempoh yang lama. Jika perlu keluar, gunakan payung atau topi serta cari kawasan teduh,” katanya kepada Bernama.

Semalam, MetMalaysia memaklumkan daerah Pendang dan Baling di Kedah menjadi kawasan terbaharu dilanda gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius setakat 4 petang dan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah turut kekal pada tahap dua.

Sebanyak 15 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis dan Kuala Lumpur, serta beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurut MetMalaysia, gelombang haba tahap dua berlaku apabila suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga dicatat pada julat suhu sama untuk tempoh tersebut. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537202