KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- SMRT Holdings Bhd bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd menjelang suku ketiga 2026.
Menurut syarikat pemegang pelaburan itu, kumpulan berkenaan telah mencapai keperluan yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia termasuk kriteria keuntungan, kedudukan kewangan dan sebaran pemegang saham awam.
“SMRT telah mencatat keuntungan selepas cukai beraudit dan boleh diagihkan kepada pemilik syarikat kira-kira RM27.68 juta untuk tahun kewangan beraudit terkini berakhir 30 Jun 2025 dan RM70.39 juta untuk tiga tahun kewangan beraudit sebelum ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu memaklumkan telah mengekalkan kedudukan kewangan yang baik tanpa sebarang kerugian terkumpul dan mempunyai modal kerja mencukupi untuk sekurang-kurangnya 12 bulan selain aliran tunai operasi yang positif sepanjang tempoh dalam tinjauan.
Dalam makluman itu, syarikat berkata kira-kira 69.56 peratus daripada modal saham terbitannya dipegang oleh 4,854 pemegang saham awam, melebihi sebaran pemegang saham awam yang diperlukan.
Menurut syarikat itu, cadangan pemindahan itu mencerminkan pertumbuhan, keuntungan dan kekuatan kewangan kumpulan, dan dijangka meningkatkan kredibiliti, kebolehlihatan dan daya tarikannya dalam kalangan pelabur, termasuk dana institusi.
“Lembaga pengarah yakin cadangan pemindahan itu akan meningkatkan kredibiliti, prestij dan reputasi syarikat serta memberi pengiktirafan dan penerimaan yang lebih luas dalam kalangan pelabur,” katanya.
Cadangan pemindahan itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk SC dan Bursa Malaysia.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan pemindahan itu.
-- BERNAMA