GAYA HIDUP

Persembahan Penghormatan Elvis Presley Di Malaysia Pada 11 April

25/03/2026 11:05 AM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Persembahan penghormatan bertaraf dunia bagi meraikan ikon muzik legenda Elvis Presley akan dipentaskan di Malaysia pada 11 April di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dengan penampilan penghibur Amerika Syarikat (AS) terkenal Bill Cherry.

Elvis in Malaysia anjuran Rani Serena Promotions dari Australia dijangka menarik peminat muzik daripada pelbagai generasi melalui pengalaman makan malam premium dan kabaret pancaragam secara langsung, dengan sokongan pancaragam antarabangsa Os Pombos.

Penganjur dalam kenyataan memaklumkan Cherry mencipta sejarah pada 2009 apabila menjadi artis pertama memenangi Ultimate Elvis Tribute Artist Championship di Tupelo, Mississippi, tempat kelahiran Presley dan juga Memphis, Tennessee yang dikenali sebagai lokasi utama warisan mendiang legenda muzik itu.

Persembahan itu menurut penganjur merupakan pengalaman hiburan premium dan bukan pertunjukan penghormatan konvensional, yang akan menonjolkan reputasi Cherry untuk ketepatan vokal, persamaan fizikal dan keaslian persembahan pentas.

“Ia akan menampilkan persembahan lagu hit Presley seperti Suspicious MindsCan’t Help Falling in Love dan Burning Love yang disokong kostum asli serta gaya pentas disusun rapi,” menurut kenyataan itu.

Penganjur berkata persembahan itu bertujuan memelihara warisan muzik dengan impak global yang berkekalan dan menawarkan pertunjukan langsung yang menghampiri pengalaman melihat legenda itu secara peribadi kepada penonton.

Selain nilai hiburan, acara itu turut menyokong Dignity for Children Foundation yang mencerminkan usaha menggabungkan hiburan gaya hidup premium dengan sumbangan bermakna kepada pendidikan dan pembangunan komuniti.

Penganjur memaklumkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi acara hiburan langsung bernilai tinggi terus mengukuhkan kedudukannya dalam ekonomi gaya hidup dan acara pada peringkat serantau.

Cherry pernah membuat persembahan antarabangsa merentasi AS, Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik dengan persembahannya secara konsisten menarik minat penonton daripada peminat sepanjang hayat dan mereka yang baharu mengenali legasi muzik Presley.

Harga tiket bermula daripada RM280 dan tempahan boleh dibuat melalui https://www.ticketmelon.com.

Untuk pertanyaan, penganjur boleh dihubungi menerusi WhatsApp +61 409 411 359 atau +61 422 563 893.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537348