SUKAN

Kejohanan Memanah Piala Asia 2026: Malaysia Raih Dua Gangsa

25/03/2026 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Skuad memanah negara meraih dua gangsa pada hari ketiga Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) di Bangkok, Thailand hari ini.

Pingat gangsa pertama disumbangkan menerusi trio compound wanita dibarisi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Ng Sui Kim dan Aina Syazwana Abdul Muhaimin yang menewaskan pasukan Thailand menerusi penentuan shoot-off setelah terikat 225-225.

Terdahulu trio compound wanita negara terlepas slot ke final selepas tewas kepada Kazakhstan 227-229 pada aksi separuh akhir.

Pasukan recurve lelaki negara dibarisi Quick Chern Xin, Evan Rich Chong dan Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi menghadiahkan pingat gangsa kedua selepas menang mudah 6-2 ke atas Taiwan.

Trio pemanah lelaki negara itu sebelum ini tewas 1-5 kepada India pada aksi separuh akhir acara itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537478