EKONOMI

Jerayawara Mega Sunway Kembali Melalui "Super App"

25/03/2026 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Jerayawara Mega Sunway kembali lagi tahun ini menerusi format digital sepenuhnya, yang menawarkan cara mudah kepada pengguna untuk mengakses tawaran dan aktiviti di seluruh Sunway City Kuala Lumpur melalui Sunway "Super App".

Berlangsung dari 13 Mac hingga 14 April 2026, menurut Taman Tema Sunway jerayawara tahunan itu telah menjadi acara utama bagi keluarga, pengembara, dan individu yang menikmati pengalaman riadah, gaya hidup dan penjagaan kesihatan. 

“Buat kali pertama, kempen itu memperkenalkan pembelian secara penstriman langsung, membolehkan pengguna membeli dan mendapatkan tawaran eksklusif secara masa nyata. Daphne Iking akan menjadi hos untuk siaran secara langsung, manakala Arwind Kumar bakal mengendalikan sesi tambahan sepanjang tempoh kempen,” menurut kenyataan syarikat itu. 

Siaran secara langsung oleh Daphne Iking adalah pada 27 dan 28 Mac, 3 dan 4 April, serta 11 dan 12 April, dari 8.30 hingga 9.30 malam, dan 10 hingga 11 malam.

Sementara itu, sesi Arwind Kumar pula pada 27 Mac, dari 12 tengah hari hingga 1 petang,  29 Mac ( 7 hingga 8 malam), 3 April (12 hingga 1 tengah hari), 5 April( 7 hingga 8 malam), dan 11 serta 12 April (7 hingga 8 malam).

Sepanjang sesi itu,  menurut Taman Tema Sunway pengguna boleh mendapatkan tawaran istimewa menerusi segmen hospitaliti, makanan dan minuman, kesihatan, serta gaya hidup.

Antara hotel yang menyertai ialah Sunway Resort Hotel, Sunway Lagoon Hotel dan Sunway Pyramid Hotel, yang menawarkan pakej penginapan eksklusif.

Pilihan makanan seperti Sunset Terrace Weekend Brunch turut ditampilkan, dengan promosi mesra keluarga termasuk hidangan percuma untuk kanak-kanak dengan setiap pembelian oleh seorang dewasa. 

Tetamu juga boleh menikmati promosi penginapan di Sunway Sanctuary, bersama tawaran seperti program penjagaan selepas bersalin dan promosi bufet.

Jerayawara itu turut mengetengahkan pembangunan kediaman oleh Sunway Property, menampilkan projek di seluruh Lembah Klang dan negeri lain, yang memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup, termasuk kediaman tepi tasik di Sunway Serene 2 di Petaling Jaya, dan Sunway Bayu di Ipoh, yang memperkenalkan gaya hidup resort tropika.

Selain itu, pembeli yang mendaftar semasa siaran langsung berpeluang menerima rebat hingga RM5,000, berserta insentif eksklusif.

Setiap pemilik rumah baharu Sunway Property secara automatik layak menyertai Sunway Property+, sebuah program gaya hidup selepas jualan, yang direka untuk menambah nilai pemilikan rumah, termasuk perkhidmatan penyelenggaraan Care+ seperti pembersihan dan servis penghawa dingin, serta pengalaman komuniti yang disusun khas.

Segmen lain termasuk Sunway Winstar, Sunway Trading and Manufacturing, Sunway XFarms dan Sunway Renewable Energy, yang menawarkan produk daripada keperluan rumah sehingga penyelesaian gaya hidup lestari.

Menurut Taman Tema Sunway, tawaran kewangan dan riadah juga tersedia melalui Sunway Fintech dan Sunway Pyramid Ice, yang menawarkan penyelesaian praktikal untuk keperluan harian, termasuk laporan MyScore daripada Biro Kredit Malaysia pada kadar eksklusif dan Buy 1 Free 1 SME Growth Workshop.

Bagi tujuan riadah pula, pakej taman tema menjadi antara tarikan utama, termasuk pas tahunan untuk Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun, selain tawaran luncur ais eksklusif di Sunway Pyramid Ice.

Turut ditawarkan dalam kempen berkenaan, adalah pakej kesihatan oleh Pusat Perubatan Sunway, yang menggabungkan saringan kesihatan dan penginapan hotel.

Selain itu, Malaysian Attraction Pass menawarkan akses bersepadu, termasuk di Aquaria KLCC, Petrosains Discovery Centre, Farm Fresh, dan Super GT pada tarikh terpilih.

Jualan Mega Hour secara flash sale turut diadakan pada Selasa dan Khamis, menawarkan tawaran masa terhad bermula daripada RM1.

Pengguna boleh menyertai kempen itu dengan muat turun Sunway Super App, meneroka tawaran yang tersedia dan membuat pembelian secara terus melalui platform berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537629