ALOR SETAR, 26 Mac (Bernama) -- Catuan feri ke Langkawi daripada lima kepada tiga perjalanan sehari bermula semalam, perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan operasi pengangkutan itu agar terus bertahan dan tidak diberhentikan sepenuhnya.
Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Dr Baharin Baharom berkata pihaknya tiada pilihan selain mengurangkan perjalanan kerana bimbang industri pengangkutan itu berhadapan risiko gulung tikar susulan lonjakan mendadak harga diesel industri.
Beliau berkata kenaikan harga diesel yang melebihi 100 peratus memberi tekanan besar kepada kos operasi serta pengusaha feri di Langkawi.
“Ada yang menyalahkan pengusaha feri atas pengurangan itu dan menganggap ia akan menjejaskan kemudahan pengangkutan kepada pengguna, namun persepsi itu tidak mengambil kira realiti sebenar industri.
“Kadar tambang feri ke Langkawi antara paling rendah di Malaysia, sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika, jauh lebih rendah berbanding laluan ke Pulau Tioman dan Pulau Pangkor, iaitu sekitar RM2 setiap batu nautika,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharin berkata kadar tambang yang rendah telah lama dikekalkan demi memastikan akses pelancongan yang mampu milik, namun ia menjadi cabaran utama kepada kelangsungan perniagaan dalam keadaan kos operasi yang meningkat mendadak.
“Pengurangan jadual ini dijangka akan memberi kesan kepada sektor pelancongan Langkawi tetapi tanpa pelaksanaan langkah penstabilan seperti catuan jadual, pelarasan tambang atau sokongan dasar, industri feri Langkawi berisiko mengalami penutupan operasi dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ferry Line mengambil langkah menyusun semula jadual perjalanan selepas Aidilfitri berikutan kenaikan harga diesel industri yang melebihi 100 peratus bagi mengurangkan risiko kerugian yang semakin membebankan pengusaha feri.
-- BERNAMA