AM

Masjid Terapung Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Di Yan

27/03/2026 11:44 AM

YAN, 27 Mac (Bernama) -- Masjid terapung di Kampung Ruat di sini yang dijangka siap dibina sepenuhnya bulan depan bakal menjadi antara tarikan utama pelancongan di daerah ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata projek yang diambil alih oleh kontraktor baharu bermula Julai 2023 itu melibatkan kos keseluruhan bernilai lebih RM12.95 juta.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek ini. Pembinaan masjid ini antara inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan selamat kepada penduduk setempat," katanya selepas meninjau status kemajuan projek pembinaan masjid tersebut di sini hari ini.

Ahmad berkata antara skop utama projek merangkumi pembinaan bangunan masjid, struktur sampingan seperti gerbang, menara tangki air, menara azan, pembinaan pencawang jenis kompak Tenaga Nasional Berhad dan sistem rawatan kumbahan kecil (SSTS).

Beliau berkata proses penyerahan projek daripada JKR kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dijangka dilaksanakan pada penghujung April ini.

"Kementerian Kerja Raya berharap dengan siapnya masjid terapung ini, ia bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah sebagai simbol pembangunan dan kesejahteraan komuniti di daerah Yan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538085