ALOR SETAR, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 2,100 liter diesel dianggarkan bernilai RM9,534 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, petang semalam.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan kira-kira 6 petang itu dijalankan hasil kerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 selepas pihaknya menerima maklumat risikan.
Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah diesel disimpan dalam beberapa tong jenis bekas pukal perantaraan (IBC) yang bersambung antara satu sama lain.
“Seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang mengaku sebagai pemilik stor turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Lelaki itu didapati tidak mempunyai permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan iaitu diesel di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Nizam berkata kesemua diesel bersama enam tong IBC dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan bahan berkenaan dirampas bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM11,034 manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA