AM

Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Mula Meningkat Setakat 11 Pagi

28/03/2026 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan mula meningkat dan bergerak perlahan setakat 11 pagi ini, susulan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata secara keseluruhannya, kesesakan mula tertumpu di beberapa sektor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta kawasan Lembah Klang, manakala trafik di lebuh raya Pantai Timur masih terkawal.

Peningkatan aliran trafik juga berikutan pergerakan orang ramai untuk pulang bagi sesi persekolahan yang dijadualkan bermula Isnin ini.

“Di Lebuhraya Utara-Selatan (E1), trafik arah utara dilaporkan perlahan dari Permatang Pauh ke Sungai Dua, manakala arah selatan dari Juru Auto City ke Plaza Tol Juru serta Changkat Jering ke Kuala Kangsar.

“Di Lebuhraya Utara-Selatan (E2), aliran trafik arah utara perlahan dari Senai Utara ke Kulai, manakala arah selatan dari Putra Mahkota ke Nilai Utara,” katanya.

Sementara itu, kesesakan di Tambak Johor dikesan berlaku di kedua-dua arah melibatkan laluan dari pertengahan jambatan Woodlands ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan sebaliknya.

Selain itu, di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), trafik arah selatan bergerak perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai Utara.

Laluan lain yang mengalami pergerakan perlahan termasuk Lebuhraya Cheras-Kajang (GrandSaga) dari Taman Suntex ke Taman Connaught (arah utara) serta Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong Utama ke Puchong Intan (arah utara).

Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mempunyai baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian hotline Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 1-800-88-7752, WhatsApp LLM Info Trafik, aplikasi TUJU dan MYJalan atau melalui media sosial rasmi LLM di TikTok @llmtrafik dan Facebook agensi itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2538406