KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan serantau dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan berdaya saing.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama strategik antara kerajaan dengan organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan perniagaan di negeri ini.
“Kerajaan negeri melalui MINDET komited menyokong pembangunan usahawan dan pemimpin muda termasuk ahli JCI menerusi pelbagai inisiatif seperti akses pembiayaan, latihan keusahawanan, program pembangunan kapasiti serta jaringan strategik bersama-sama pemain industri dan pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Association of JCI Senator in The South East Asian Nations (ASSEAN) 1st Board of Directors Meeting & Installation 2026 di sini semalam.
Ewon berkata kementerian itu akan terus memperluas akses pasaran termasuk membantu usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa, di samping memperkukuh sistem logistik dan rantaian bekalan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di Sabah.
“MINDET akan terus melipatgandakan usaha mempromosi Sabah sebagai destinasi pelaburan, perindustrian dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata kolaborasi erat antara kerajaan dengan NGO mampu melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa serta usahawan berdaya saing yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA