GEORGE TOWN, 29 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 2,724 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang 13 hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di negeri ini sejak 13 Mac lepas.
Pengarahnya Zulkifly Ismail berkata sepanjang tempoh tersebut, 19,900 kenderaan telah diperiksa dengan 1,492 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
"Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan 576 saman dikeluarkan diikuti kesalahan tidak memiliki lesen memandu sebanyak 541 saman, tiada insuran (468 saman) selain menyita 13 kenderaan kerana pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah keseluruhan tindakan, kenderaan persendirian mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,860, diikuti motosikal (500), kenderaan barangan melebihi 7,500 kilogram (253), kenderaan barangan di bawah 7,500 kilogram (83) dan kenderaan perkhidmatan awam termasuk bas (19),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Konsortium Pelancongan Bumiputera Sdn Bhd sempena kempen keselamatan jalan raya Ops Hari Raya Aidilfitri 2026, di Terminal Bas Sungai Nibong, di sini, malam tadi.
Zulkifly berkata sepanjang operasi selama 13 hari itu, pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dengan objektif utama memastikan keselamatan semua pihak terpelihara, khususnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata seramai 245 anggota penguat kuasa JPJ turut digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaan bas di depoh, audit di terminal utama termasuk Terminal Bas Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong serta rondaan penguatkuasaan di lima koridor utama dan lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
"Selain itu, kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres turut dilaksanakan bagi mengesan salah laku pemandu semasa mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam dan didapati tahap pematuhan mereka adalah baik apabila tiada kesalahan dikesan," katanya.
Beliau berkata strategi penguatkuasaan secara penyamaran juga dilaksanakan dengan menempatkan anggota di laluan utama, lebuh raya serta kawasan bertrafik tinggi yang dijalankan secara statik atau mengekori sasaran dengan menggunakan kenderaan jabatan tanpa logo bagi merakam kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
-- BERNAMA