GEORGE TOWN, 30 Mac (Bernama) -- Bekalan air di Pulau Pinang dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Mei ini sekiranya tiada lagi pelepasan air dalam jumlah besar dari Sungai Muda, Kedah, di tengah-tengah cuaca panas dan kering ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk K.Pathmanathan berkata situasi semasa menunjukkan sumber air mentah dari Sungai Muda masih mencukupi untuk tempoh kira-kira dua bulan.
"Dua empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda dan Empangan Beris kini menunjukkan trend penyusutan kapasiti yang ketara sejak awal tahun ini susulan pelepasan air bagi tujuan pengairan pertanian.
"Setakat 28 Mac, kapasiti Empangan Muda berada pada paras kritikal 7.19 peratus manakala Empangan Beris pada tahap 58.06 peratus dengan Empangan Muda tidak lagi mampu melepaskan air tambahan ke Sungai Muda selepas mengalami penurunan mendadak akibat pelepasan bagi tujuan pengairan tanaman padi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan kadar penyusutan semasa, baki simpanan Empangan Beris yang menyusut 0.56 peratus sehari dianggarkan mampu bertahan kira-kira 68 hari sebelum mencecah paras kritikal 20 peratus sekitar pertengahan atau akhir Jun nanti.
Pathmanathan berkata Sungai Muda kekal sebagai sumber utama bekalan air mentah kepada Pulau Pinang yang turut dikongsi dengan Kedah, dan PBAPP secara purata mengabstrak kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) air mentah dari sungai tersebut untuk dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Beliau berkata air terawat itu kemudiannya dibekalkan kepada kira-kira 465,000 pengguna di seluruh negeri termasuk di Seberang Perai dan bahagian pulau.
“Bagi menghadapi situasi semasa, PBAPP telah mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) sejak akhir Februari lalu iaitu mengabstrakkan maksimum air mentah dari Sungai Muda setiap hari bagi menyokong pengeluaran air terawat yang optimum di LRA Sungai Dua.
"Seterusnya pelepasan air secara strategik dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) sekiranya berlaku kekurangan bekalan air mentah dari Sungai Muda dengan Kapasiti maksimum pelepasan EMD adalah dihadkan kepada 600 JLH," katanya.
Pathmanathan berkata Program Double Dam Defence Pulau Pinang (DPI) dilakukan secara berterusan dengan mengepam kira-kira 407 JLH air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering.
Walaupun SMCP 2026 dijangka dapat membantu Pulau Pinang mengharungi cabaran bekalan air sepanjang tahun ini, namun ia bukan satu penyelesaian menyeluruh kerana kapasiti maksimum pelepasan EMD hanya 600 JLH, sedangkan LRA Sungai Dua memerlukan kira-kira 1,000 JLH air mentah untuk beroperasi secara optimum, katanya.
Beliau juga berkata setakat 28 Mac, status empangan di Pulau Pinang masih terkawal dengan Empangan Air Itam berada pada paras 69.38 peratus, Empangan Teluk Bahang 84.05 peratus dan EMD pada 91.24 peratus.
-- BERNAMA