KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Tambang AirAsia mungkin mengalami kenaikan kecil namun masih kekal pada harga mampu milik berikutan konflik di Asia Barat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu tidak akan membatalkan penerbangan walaupun harga minyak mentah meningkat, memandangkan permintaan kekal tinggi.
“Kami tidak akan membatalkan penerbangan kerana permintaan adalah baik. Kami melakukan yang terbaik untuk mengekalkan tambang serendah yang mungkin namun kami memerlukan sokongan daripada bahagian lain dalam ekosistem penerbangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata kos bahan api yang lebih tinggi sememangnya tidak dapat dielakkan akan menyebabkan pelarasan tambang, namun AirAsia menyasar untuk memastikan kenaikan adalah lebih rendah berbanding pesaingnya.
“Tambang memang akan dinaikkan, tiada pilihan lain, tetapi kenaikan tambang kami akan lebih rendah berbanding yang lain,” katanya.
Tony berkata walaupun menghadapi tekanan kos, AirAsia masih mampu beroperasi dan menyerap sebahagian beban tersebut, disokong oleh pengurangan kapasiti penerbangan oleh syarikat penerbangan Teluk.
“Permintaan adalah baik, kami boleh terus beroperasi dan menyerap kos tambahan ini kerana kapasiti penerbangan (oleh syarikat penerbangan) rantau Teluk seperti Emirates, Etihad dan Qatar telah berkurangan sekitar 15 hingga 20 peratus tempat duduk,” katanya.
Beliau berkata pengurangan kapasiti itu memberi peluang kepada kalangan negara ASEAN untuk memperkukuh kedudukan masing-masing sebagai hab penerbangan alternatif di rantau ini.
Bagaimanapun, peningkatan kos tidak seharusnya ditanggung oleh syarikat penerbangan sahaja, sebaliknya memerlukan usaha bersama seluruh industri, katanya.
“Beban ini tidak boleh ditanggung oleh industri penerbangan sahaja. Syarikat bahan api juga perlu melaksanakan peranan. Pihak pengendali lapangan terbang juga perlu berbuat sedemikian. Rantaian bekalan lain juga sama,” katanya.
Tony berkata industri penerbangan pernah menghadapi cabaran yang jauh lebih besar semasa pandemik COVID-19, dan yakin syarikat itu mampu mengharungi situasi semasa melalui inovasi dan langkah strategik.
-- BERNAMA