KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Transaksi e-pembayaran meningkat sebanyak 25 peratus kepada 18.4 bilion pada 2025 berbanding 14.7 bilion yang direkodkan semasa 2024, dengan setiap rakyat Malaysia membuat 538 e-pembayaran pada 2025, peningkatan sebanyak 25 peratus daripada 432 pada 2024.
Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Laporan Tahunan 2025 memaklumkan transaksi e-pembayaran menokok pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 17 peratus, antara 2022 hingga 2025.
Oleh itu, Malaysia secara konsisten telah melepasi sasaran Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 iaitu sekurang-kurangnya 15 peratus CAGR bagi purata transaksi e-pembayaran per kapita.
“Pertumbuhan pada 2025 disokong oleh aktiviti penggunaan yang berterusan, melalui peningkatan transaksi e-pembayaran runcit sebanyak 19 peratus, kepada RM831 bilion pada tahun itu (2024: RM698.2 bilion),” katanya.
Sementara itu, purata saiz transaksi wang elektronik (e-wang) lebih tinggi iaitu RM43 (2024: RM33) mencerminkan tahap keyakinan pengguna yang semakin meningkat, bukan sahaja untuk perbelanjaan harian seperti pengangkutan, makanan dan minuman, malah pembayaran bernilai lebih tinggi.
Dari segi perbankan dalam talian, penggunaan perbankan mudah alih terus mengatasi perbankan internet berikutan tahap penembusan telefon pintar yang tinggi, membolehkan transaksi dijalankan dengan lancar dan pada bila-bila masa.
Pembayaran kad terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, dengan pertumbuhan transaksi kad debit melonjak hampir dua kali kadar transaksi kad kredit (20.5 peratus berbanding 10.9 peratus), walaupun purata nilai transaksi kad debit menurun sebanyak 11.5 peratus (2025: RM69; 2024: RM78).
“Pembayaran tanpa sentuh terus mendapat sambutan dengan peningkatan sebanyak 20.3 peratus (2025: 2 bilion transaksi; 2024: 1.7 bilion transaksi), didorong oleh kemudahan dan kepantasan penggunaannya.
“Jumlah transaksi DuitNow QR melonjak sekali ganda kepada tiga bilion pada 2025 (2024: 1.5 bilion), didorong oleh penggunaannya yang mudah serta penerimaan meluas dalam kalangan peniaga, malah terdapat hampir tiga juta tempat penerimaan DuitNow QR berdaftar di seluruh Malaysia sehingga akhir 2025 (2024: 2.6 juta),” katanya.
Dalam perkembangan lain, BNM memaklumkan perkhidmatan kiriman wang elektronik (e-kiriman wang) oleh penyedia perkhidmatan kiriman wang berlesen bertambah sebanyak 70.1 peratus mencecah RM31.6 bilion pada 2025, merangkumi 51.8 peratus daripada kiriman wang ke luar negara.
Bangladesh, Indonesia dan Myanmar merupakan koridor penerima utama kiriman wang sejajar dengan bilangan pekerja migran yang banyak dari negara-negara berkenaan.
“Meskipun pertumbuhan keseluruhan adalah negatif, transaksi pertukaran mata wang yang dijalankan oleh pengurup mata wang bukan bank secara digital, naik sejumlah 29.1 peratus kepada RM7.6 bilion (2024: RM5.9 bilion).
“Hal ini disebabkan oleh peningkatan penawaran penyelesaian digital, termasuk melalui penerimaan e-pembayaran dan kad prabayar pelbagai mata wang,” katanya.
Pada tahun ini, BNM berkata pihaknya akan memastikan perkhidmatan pembayaran dan perkhidmatan wang yang selamat serta diyakini untuk pengguna individu serta perniagaan, dengan memperluas penggunaan pembayaran digital merangkumi segenap lapisan masyarakat serta pengukuhan pengawasan dan pencegahan penipuan bagi melindungi pengguna.
“Selaras dengan minat global yang semakin meningkat terhadap ekonomi berasaskan token, BNM akan memajukan usaha berkaitan aset ditokenkan dan wang digital termasuk Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), deposit ditokenkan dan ‘stablecoin’ ringgit, dengan mewujudkan rangka kerja kawal selia yang jelas.
“Pendekatan ini akan memberikan kepastian kepada industri sambil memelihara kestabilan kewangan dan perlindungan pengguna, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dipercayai dan berpandangan jauh dalam inovasi kewangan digital bertanggungjawab,” kata bank itu lagi.
-- BERNAMA