AM

SPM 2025: Pelajar Hidap Spina Bifida Peroleh 10A

31/03/2026 02:17 PM

ALOR SETAR, 31 Mac (Bernama) -- Walaupun menghidap spina bifida atau kecacatan tiub saraf sejak lahir, ia tidak mematahkan semangat pelajar Sekolah Menengan Agama (SMA) Darusaadah di sini, Huda Rasheeda Rosli yang memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Huda Rasheeda adalah antara tiga pelajar Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di Kedah yang memperoleh keputusan cemerlang 10A selain pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Yousef Mohd Hazril Munir dan Nur Zahra Arifah Abd Rahman dari SMA Islahiah Mahang yang mempunyai masalah pembelajaran.

"Memang tidak sangka, saya hanya sasarkan dapat antara 7A atau 8A sahaja tetapi syukur dapat lebih daripada yang diharapkan…tambahan pula, banyak dugaan saya terpaksa tempuh termasuk perlu berpindah ke sekolah lain untuk menjawab peperiksaan berikutan bencana banjir ketika itu.

“Selepas menjawab peperiksaan subjek Bahasa Melayu, kami diminta cikgu untuk bersiap berpindah ke sekolah lain kerana hujan lebat telah menyebabkan laluan dinaiki air banjir. Ini memang cabaran terbesar buat saya kerana saya memang tidak pernah duduk di asrama,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu kepada pemberita di sini hari ini.

Huda Rasheeda yang terpaksa tinggal di asrama sekolah selama beberapa hari mengakui tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kerana perlu belajar secara berkumpulan berbanding kebiasaannya belajar sendiri.

“Memang susah sebab sudah biasa belajar sendiri, tetapi di asrama kena belajar secara berkumpulan, memang susah untuk fokus. Tetapi, saya tetap belajar secara konsisten dan cari waktu sesuai untuk belajar, biasanya ulang kaji satu subjek saya akan habiskan masa kira-kira sejam setengah.

“Ibu dan dua adik-beradik banyak membantu saya, doa mereka penguat saya selepas kematian ayah pada 2023. Selepas ini, saya mahu sambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sekolah sama,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Atifah Musa, 55, yang juga guru di sebuah sekolah di Sungai Korok, Jitra berkata dia memahami situasi dihadapi anaknya kerana selain mempunyai masalah tulang belakang, Huda Rasheeda juga mengalami masalah gemuruh dan tidak selesa berada dalam suasana ramai.

“Bila kena pindah masuk asrama sebab banjir, memang risau dia tidak boleh fokus, tidak boleh belajar berkumpulan...tambahan pula subjek masa itu agak berat iaitu Bahasa Inggeris dan Sejarah tetapi syukur dia berjaya mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539330